Pages

Sunday, September 18, 2016

Gangguan di Babak 12

GANGGUAN DI BABAK 12




Kisah ini berlaku sewaktu aku di tahun ketiga, semester pertama. Waktu di mana aku cukup aktif dengan aktiviti teater sejak tahun pertama di kampus.

Aku pilih untuk tidak menamakan kampus mana, produksi, atau tajuk pementasan. Seminggu sebelum pementasan merupakan masa kritikal buat mana-mana produksi teater. Produksi kami berskala kecil kali pertama terlibat dalam pementasan solo pertama yang cukup besar sejak aku menubuhkannya setahun yang lepas. Dengan kesibukan harian hidup sebagai pelajar universiti, kesemua dari komiti, krew, dan pelakon terasa tekanan dan debaran menuju hari kejadian.


Malam itu malam Jumaat. Sedang kebanyakan pelajar di sini sudahpun pulang ke rumah kerana tiada kelas hari Jumaat, krew produksi berkampung di tapak latihan teater di Dewan Kebudayaan.

Babak 12, Hasni yang memegang watak utama perlu melakonkan watak kanak-kanak yang berhadapan dengan mimpi ngerinya. Sarah masih dalam proses disolek selepas aku meminta Mai membetulkan solekan pelakon aku itu.

"Tak cukup ni, Mai. Budak pun tak takut nak tengok muka Sarah ni."
"Tak cukup apa, Halim?"
"Tak cukup hantu. Tak seram. Touch-up sikit. Sebelum babak Sarah nanti pastikan siap."

Aku lihat wajah Sarah mencuka. Aku dapat rasa keluhan Sarah mendengar arahan aku. Aku faham tekanan pelakon terutama bila melibatkan solekan yang rumit. Aku pernah rasa tapi aku tak peduli. Krew perlu buat yang terbaik sekarang atau hari persembahan akan huru-hara.

Babak 11 baru selesai. Aku memanggil Sarah untuk bersedia. Krew audio dan pengcahayaan sudah bersedia. Pelakon lain juga. Sarah masuk ke 'pentas' dengan solekan yang sudah dibetulkan. Tapi, solekan tersebut masih tak memuaskan bagi aku.

"Nice, Mai. Make-up seram seyh!" Aina, pembantu pengarah aku memuji hasil kerja Mai. Aku hanya mampu diam. Nantilah waktu post-mortem aku tegur. Masa itu emas.

"OK, audio play." Nasir menurut arahan. Muzik dengan mood seram dimainkan.
"Sarah, Gurindam 12.." Sarah yang memejam matanya mendalami watak menarik nafas sebelum melagukan Gurindam.

"Apabila banyak, berlebih-lebihan suka,
Itulah tanda, hampirkan duka,
Ingat akan dirinya mati
Itulah asal berbuat bakti
Akhirat itu telah pun nyata
Kepada hati yang tidak buta
Gurindam dua belas

Kini mohon berhenti..."

"1.. 2.. Lights on!" Shafik penjaga lampu menekan suis. Aku perlukan pencahayaan malap untuk babak ini tapi..

"Shafik! Terang sangat! Malap lagi."
"Bos, aku dah set baik dah ni.."
"Set baik tapi silau pelakon tu haa!"

Sarah dan Hasni melindungi mata mereka. Cahaya terlalu silau.

Tiba-tiba, lampu mula berkelip-kelip. Laju. Dan akhirnya..
PRANGG!!

Bau hangit asap mengisi ruang latihan indoor. Keenam-enam lampu pentas meletup. Ah, sudah. Bukan murah sebiji mentol ni. Apa yang dah jadi?

Audio seram yang masih bermain dari tadi pula mula buat hal. Dari corong pembesar suara yang dipasangkan ke komputer riba Nasir, kedengaran suara garau dan serak di sebalik muzik yang terganggu..

"GUUURINDAMM.. DU.. AAAA.. BEEE.. LASSS... GUUURINDAMMM.. DU,.."

Dan disusuli dengan jeritan yang membingitkan telinga semua...

"AAAAAAA....!!!"

Serentak itu komputer riba Nasir mati dan seluruh bilik bergelap. Blackout.

Pelakon dan krew terkejut dan ada yang menjerit. Ini pertama kali kejadian begini berlaku selama 3 bulan kami berlatih bersama.

Tak cukup dengan masalah teknikal, semasa aku pandang Sarah, aku nampak kelibat berpakaiaan putih di belakangnya. Berdiri rapat di belakang pelakon aku itu dan diam di situ.

"OK, cast and crews! Tenang.. Alin, tolong periksa dekat luar bilik training, Dewan pun bergelap ke. Epi, teman Alin." Aku yang terkaku memandang kelibat tadi tersentak sebentar dengan suara Aina memberi arahan kepada pengurus pentas kami. Aku menoleh kepada pembantu pengarah aku itu. Nampak dalam samar Epi dan Alin keluar dari bilik latihan untuk memeriksa. Aku toleh kembali kepada Sarah, kelibat tadi dah hilang.

"Semua rehat kejap sementara tunggu diorang check." Aku biarkan Aina yang mengawal situasi. Aku pandang semua krew pementasan. Ada yang memeriksa peralatan pementasan dan props dan ada yang duduk berehat. Kecuali Sarah, dan Adam.

Dari terang cahaya lampu telefon bimbit beberapa krew, aku nampak Sarah hanya bersandar di dinding. Dadanya seperti tercungap-cungap. Nafasnya turun naik. Adam, salah seorang pelakon dalam pementasan datang ke arah rakan pelakonnya itu.

"Sarah, kau OK tak ni?" Perlahan terdengar suara Adam. Kawan aku ini bukan lelaki biasa. Dia tahu mengawal situasi dan dia pernah bercerita yang dia selalu mengikuti bapa saudaranya yang merupakan pengamal perubatan tradisional merawat pesakit-pesakit yang mendapat gangguan makhluk halus atau disihir. Biarpun dia tidak belajar secara formal ilmu-ilmu tersebut, tapi pengalamannya terlibat dalam beberapa sesi perubatan dengan saudaranya itu memberi dia sedikit kelebihan dan deria untuk tahu kalau-kalau ada perkara buruk yang sedang berlaku.

Mungkin apa yang terjadi dan Sarah yang kelihatan tidak berapa sihat itu berpunca daripada kelibat tadi. Apa motif dia? Apa sebab dia mengganggu pementasan kami?

Aku cepat-cepat buang fikiran yang bukan-bukan. Mengingatkan yang Adam tahu-menahu tentang dunia di luar mata kasar ini tak membantu. Ah, tidak. Ini cuma masalah teknikal. Fikir positif.

Beberapa minit selepas itu, Epi dan Alin kembali ke bilik latihan.

"Satu hall gelap.."

Selepas beberapa minit, "Aina, satu hall gelap.."
"Oh, OK. Halim, satu hall gelap. Macam mana? Cari tempat lain atau..."
"Balik.."

Nampaknya aku masih tak dapat buang fikiran negatif aku tadi. Negatif, tapi mungkin juga jawapan sebenar kepada apa yang berlaku. Aku nampak Adam pandang aku dengan wajah yang risau seperti ada sesuatu yang ingin dia sampaikan. Sarah pula sedang susah payah membetulkan nafas dia.

"Takpe. Kita ada lagi siang esok dengan hujung minggu. Sabtu Ahad kita buat yang lagi baik. Nasir, Shafik, korang buat apa yang patut dekat barang-barang kitorang. Ada masalah, inform stage managers atau Aina. Kalau tak settle bagitahu aku. Yang lain, kemas-kemas. Kita bersurai. Rehat. Esok petang lepas solat Jumaat kita sambung. Thank you."


Dan bersurai tak menyelesaikan masalah. Sarah dan Mai yang pulang ke asrama bersama dikejar anjing. Tak henti disitu, anjing tersebut tidak henti menyalak ke arah tingkap bilik mereka di tingkat dua selama 10 minit lamanya. Ada krew yang terasa seperti diekori seseorang sedang tiada siapa di belakang. Ada yang nampak kelibat seperti beruk, bewarna hitam, dan berlari seperti manusia di atas bumbung salah satu bangunan kampus di sini.

Whatsapp group pementasan kecoh dengan cerita-cerita mereka. Aku abaikan dan biarkan Aina dan pengurus pentas memastikan semua tenang.

BEEP! BEEP!

Datang mesej daripada Adam semasa aku tiba di bilik.

"Halim. Ada benda aku nak cerita pasal apa yang jadi tadi.."

Aku abaikan. Aku buka komputer riba dan membuka dokumen skrip pementasan. Aku perlu ubahsuai lagi skrip aku. Aku dapat teguran dan komen yang skrip dan perjalanan teknikal pementasan aku perlu diperbetulkan lagi untuk memudahkan pemahaman krew produksi.

Jam 12.22 tengah malam. Bilik empat bahagian ini bergema dengan detakan papan kekunci komputer riba aku. Sunyi yang terlalu ditinggalkan tiga orang lagi rakan sebilik yang balik bercuti hujung minggu membuatkan aku melayari Youtube dan membuat carian muzik instrumental piano berlagukan sedih dan murung. Ambil 'mood' orang kata.

Entah berapa lama masa dah berlalu tapi apa yang aku dapat agak, sudah 10 lagu, tiap satu berdurasi 5 minit sudah jadi peneman aku sepanjang menulis.

Tapi sejam berlalu tak menggambarkan hasil di skrin komputer riba. Aku buntu mencari idea untuk menggubah lagi jalan cerita tapi aku tak boleh tidur memikirkan produksi yang memerlukan penambahbaikan dalam skrip aku ini.

Air sirap bandung sudahpun kering bersama ais yang mencair. Pundi kencing tak tertahan dan otak dah sesak. Aku perlu ke tandas.

Baru sahaja aku berdiri menolak kerusi ke belakang, serentak itu aku dengar tombol pintu bilik dipulas dan dibuka.

"Awal pula diorang balik."

Aku ke depan bilik dan membelek pintu yang ternganga luas. Aku belek satu persatu bahagian bilik rakan sebilik yang lain, kosong. Masih bergelap. Tak berusik. Mereka belum pulang. Kalau pun mereka pulang, siapa yang nak balik pagi buta macam ni?

Habis siapa yang buka pintu tadi?

Aku buang fikiran bukan-bukan yang mengada menggangu. Pintu aku kunci. Aku bergegas melalui koridor bilik menuju ke tandas. Tiada siapa di dalamnya. Hanya aku sorang. Aku pilih pintu tandas terdekat. Pintu ditutup dan sunyi. Sedang aku membuang air kecil, kedengaran seseorang masuk ke tandas dan berhenti tak berapa jauh dari aku. Bunyi seakan bakul diletakkan di atas sinki kedengaran. Ada yang mahu gosok gigi dan mencuci muka sebelum tidur agaknya.

Selesai, aku keluar dari tandas dan berjalan keluar. Aku sempat menoleh ke arah lelaki yang baru sampai ke tandas tadi, sekilas. Dan sekilas itulah yang mengecutkan perut aku.

Berbaju t-shirt biru dan berseluar batik. Susuk tubuh itu cukup aku kenal.. Itu aku! Aku nampak diri aku berdiri di hadapan sinki dan wajahnya jelas terbias pada cermin sinki! Saling tak tumpah. Ini kerja gila..

Aku patah balik mahu pulang ke bilik. Gangguan tak tamat di situ.

"Sarah?"

Terpacul spontan aku memanggil wanita yangs edang berdiri tegak nkaku membelakangi aku. Aku kenal susuk tubuh Sarah dan aku ingat pakaiaan latihannya tadi. Dia berdiri di koridor sempit ke arah bilik aku. Pelajar wanita dihadapan pintu bilik asrama lelaki pada waktu awal pagi.

Aku tak patut tegur makhluk ini. Aku memang tak patut tegur. Aku dah dengar dan tonton terlalu banyak kisah seram untuk tahu itu bukan pelakon aku di situ.

Perlahan 'Sarah' berpusing ke belakang menghadap aku. Debar jantung aku tak terkata lajunya. Wajah 'Sarah' sedikit pucat dan matanya garang memandang lantai. Setapak demi setapak dia berjalan ke arah aku. Makin lama, makin dekat.

Dapat aku dengar dalam sunyi sekeliling (cengkerik pun tak berbunyi malam itu) nafas berat 'Sarah' dari mulutnya yang sedikit terbuka.

Dan akhirnya, 'Sarah' di sebelah kanan aku, betul-betul di sebelah. Mulut aku terkunci, lidah kelu, dan seluiruh tubuh aku kaku. Mata aku tak berkelip sejak tadi. Tiba-tiba, 'Sarah berhenti.

Nafasnya kini berhenti. Aku tak tahu apa patut aku buat. Mahu pandang tak mampu. Mahu tunggu, entah apa akan jadi. Jadi, aku gagahkan kaki yang berat untuk balik ke bilik sebelum...

"Halim.. pandang sini.."

Kaki aku berhenti. Aku menolak untuk mengikut arahan dia.

"PANDANG SINI!!!"


Tangan 'Sarah' merentap paksa dan menarik aku ke depannya. Cengkamannya dilepaskan dan aku pandang wajah 'Sarah' yang kini berubah.

Kulit putihnya menggelupas menampakkan daging yang reput dimakan ulat. Luka-luka diseluruh tubuhnya mengeluarkan darah hitam pekat serta nanah. Matanya putih dan giginya merah berdarah seakan baru lepas melapah daging mentah.

"Make-up macam aku kan yang kau nak? Kan, Halim, kan?? Hahahhaha!"

"TOLONGGG!!!"

Aku terjelepuk jatuh ke belakang. Kucar-kacir mengatur diri untuk bangkit dan lari ke bilik. Telefon bimbit aku di dalam, aku perlu hubungi Adam.

"Ah, sudah! Pintu ni pula!"

Mujur sahaja 'Sarah' tak kejar aku. Tapi kalau aku tersekat lama di luar pintu yang berkunci ni apa pun tak jadi. Poket kiri, poket kanan.. mana kunci aku?

"Kau cari kunci ke?" Dengar sinis 'Sarah' bersuara. Kunci aku di tangannya. Dia pandang aku dengan sengih luas dari hujung bibir ke telinganya.

Tanpa aku sedar, aku pulas pintu dan pintu terbuka sedangkan tadi aku masih ingat yang aku dah kunci pintu ni. Ah, tak penting. Aku kena lepas dari 'Sarah'. Aku kunci pintu dari dalam. Entah kenapa aku fikir makhluk halus tak boleh lepas pintu berkunci. Rasional dah hilang waktu tu.

Aku berlari mendapatkan telefon bimbit aku. Entah bila telefon ini mati. Seingat aku tadi bateri 75% sebelum aku ke tandas. Aku cuba hidupkan telefon namun gagal.

Tiba-tiba, kedengaran pada papan kekunci komputer riba aku seperti ditaip seseorang. Dan seseorang itu bukan aku.

Aku mengalihkan perhatian kepada skrin komputer. Pada dokumen skrip aku, tulisan bewarna merah ditaip membentuk mesej, khas untuk aku...

"KAU SERU AKU, 
KENAPA NAK LARI? CARI AKU,
BELAKANG KAU..."

Mata aku terbuntang...

Dan seperti apa yang terjadi di bilik latihan tadi, eletrik terputus sekali lagi. Komputer riba aku juga turut mati. Aku cepat-cepat ambil telefon dan cuba lagi menghidupkannya. Mujur. Kali ini aku boleh menghidupkannya. Aku keluar dari bilik dan berdiri di koridor yang diterangi malap cahaya bulan. Satu blok asrama sedang bergelap.

"Yes, buka pun!"
"Buka apa, Halim? Hihihi.."

Terkejut, pantas aku menoleh ke belakang. Makhluk tadi!

"Pergi! Pergi!!" Aku buka langkah seribu. Aku berlari ke lobi hadapan asrama. Belum pun aku sampai ke sana, jelmaan 'Sarah' berdiri menunggu aku di sana. Tangga ke tingkat atas di sebelah aku naik. Tak mampu berfikir panjang.

Dalam larian aku, aku cari nombor Adam untuk dihubungi. Harapnya dia masih berjaga atau tak silent-kan telefon. Entah berapa tingkat yang aku naik tapi yang aku tahu, aku di tingkat atas dan 'Sarah' tak lagi kejar aku.

Nombor Adam aku dail, berkali-kali ton panggilan berdering tapi masih tak diangkat.

"This is the voice mailbox of the number..."

Tak diangkat!

"Apabila banyak, berlebih-lebihan suka.."

Aku melilau mencari punca suara. Tak ada sesiapa. Tapi aku tahu itu suara 'Sarah', dan semakin lama suaranya semakin mendekat..

"Adam! Angkatlah!!" Aku cuba telefon dia untuk kali kedua..

"..Itulah tanda, hampirkan duka.."
Satu deringan panggilan terasa seksa untuk aku tunggu. Suara 'Sarah' seperti hampir di telinga aku. Aku cuba lari kehadapan lagi tapi semakin aku lari semakin suara itu dekat..

"Ingat akan dirinya MATI..."

Dan bait 'MATI' itu cukup terasa dekatnya seperti makhluk itu sedang berbisik. Aku serah nasib aku pada Tuhan...

"Halim?"

Syukur! Adam angkat panggilan aku akhirnya.

"Adam! Tolong aku! Sorry aku tak layan Whatsapp  tadi. Aku kena kacau weh.."
"Sekarang kau dekat mana? Jap, aku datang dekat kau.."
"Aku dekat tingkat.. tingkat.." Aku tak kira berapa tingkat yang aku dah panjat. Aku berpusing mencari-cari pintu bilik untuk tahu nombor bilik dan tingkat di mana aku berada.

"Tingkat enam! Blok B.. tingkat enam! Kolej Bilal"
"Tingkat enam? Kau dekat asrama perempuan ke?"
"Aku dekat kolej lelaki la! Kolej Bilal!"

"Kolej lelaki mana ada sampai tingkat enam.. kita ada empat tingkat saja, Halim.."

Tergamam. Diam. Kaku.. Gelap...

Tak lama lepas tu, aku dikejutkan Adam dengan percikan air yang dibacakan ayat suci Al-Quran. Dia jumpa aku di lobi blok asrama aku.

Dia ceritakan apa yang dia lakukan sepanjang aku sibuk dengan skrip dan mengabaikan telefon bimbit aku. Dia menghubungi Sarah dan beberapa krew yang diganggu dan membantu mereka menghadapi gangguan-gangguan yang datang. Beberapa ayat untuk dibaca sebagai pengantara dari Allah SWT sebagai pelindung. Syukur, gangguan-gangguan ke atas krew dan pelakon tidak berapa serius.

Tapi Adam tahu sejak sebelum babak 12 lagi yang ada sesuatu yang tak kena dengan latihan malam itu. Dia diamkan untuk mengelakkan krew produksi kecoh. Beberapa ayat suci dia bacakan sebelum latihan bermula buat pelindung setakat yang dia mampu lakukan waktu itu. Kerana itu dia kelihatan letih semasa latihan. Tekanan yang dia hadapi semasa berlindung dari anasir dari alam lain tadi cukup membebankan.


Cerita yang ingin aku sampaikan ini bukan berniat mahu memomokkan seni karya teater. Tapi pengalaman yang aku dan krew produksi alami ini moga dapat jadi peringatan, ada sempadan yang berisiko menghantui kita bila kita tersesat jauh ke dalam penghayatan atau obsesi kita. Apa-apa minat sekalipun lahir dengan risiko ini. Kalau tak dihantui alam yang lain, boleh jadi juga kehidupan, emosi, dan mental kita yang terganggu.

P/S: Guys, 22 September 2016 ni jangan lupa, legend #VolkswagenKuning datang pawagam!

POSTER FILEM #VOLKSWAGENKUNING
#OppoF1s #SelfieExpert

SINOPSIS FILEM #VOLKSWAGEN KUNING. DI PAWAGAM 22 SEPTEMBER 2016!

MENGISAHKAN sepasang kekasih yang telah bertunang, Fuad dan Sarah, yang dalam perjalanan untuk pulang ke kampung Fuad. Mereka mengalami gangguan apabila tersesat selepas senja semasa mencari kedai makan. Gangguan itu menyebabkan mereka mengalami kemalangan dan Sarah mula berubah. Semuanya gara-gara Volkswagen kuning!
Fuad ditahan di wad, manakala Sarah langsung tidak mengalami kecederaan. Raudhah, kakak Sarah, datang untuk menjemput Sarah pulang ke bandar, sementara menunggu Fuad pulih dari kecederaan. Tanpa diduga, Sarah  membawa pulang ‘sesuatu’ bersamanya.

TRAILER FILEM #VOLKSWAGENKUNING

DI SEBALIK TABIR #VOLKSWAGENKUNING

<iframe width="480" height="270" src="https://www.youtube.com/embed/m02a-R7nWlQ" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>

<iframe width="560" height="315" src="https://www.youtube.com/embed/Oqkvx0cuZ4A" frameborder="0" allowfullscreen></iframe>














No comments:

Post a Comment

Comment